Bismillahirrahmanirahim…
Pergi jauh dariku…biarkanku..
Jangan ganggu diriku..wahai silamku..
Berat sudah ku tanggung..beban ini..
Kelak akan ku ganti dengan senyuman..
Walaupun pahitnya masihku terasa..
1428 Hijrah..
Telah berlalu waktu itu..pastinya banyak kesan-kesan tinggalan perjalanan kehidupan yang terpahat dalam kamus hidup kita..
Catatan yang hitam, catatan yang putih..kisah kegemilangan kita..kedukaan kita..berita-berita kelahiran…atau kematian orang tersayang..jatuh bangun..baik perkara yang kita zahirkan di hadapan manusia, atau yang kita sembunyikan seorang diri..segalanya-galanya telah sekali lagi menjadi satu perjalanan sejarah..yang akan diulang tayang sekali lagi..pabila tiba kedatangan hari yang dinanti oleh segenap manusia..
1428H..sepertimana berlalunya tahun-tahun Hijrah yang lain, banyak meninggalkan kesan kepada diri saya sendiri. Bagaimana proses mengenali diri terus berjalan dan berlangsung, bagaimana memanfaatkan potensi yang ada pada diri, bagaimana untuk menjadi mereka yang berfikir untuk orang lain melebihi kepentingan diri sendiri, proses itu akan terus berlangsung..insyaAllah.
Kisah-kisah silam yang kadang-kadang mengetuk jendela kehidupan 1428 Hijrah, diselesaikan dengan pendekatan yang lain dari pendekatan-pendekatan sebelumnya. Pastinya kerana kali ini, asas nya bukan lagi emosi atau hawa’, asasnya sudah berbeza. Bersandarkan rasa takut diperhatikan Allah swt dalam setiap tindakan dan gerak hati, maka setiap persoalan dirungkaikan dengan konsep ihsan dan tawakkal kepada Allah swt.
Dan sekali lagi..tahun itu berlalu..
1429 Hijrah
Ahlan Wasahlan buat tahun Hijrah yang baru ini. Semoga kedatangannya membawa seribu satu pengertian dalam menjalani kehidupan kita sebagai pengembara di bumi persinggahan ini.
Teringat kata-kata seorang ahli hikmah;
“Barang siapa tidak betul pada permulaan langkahnya, nescaya tidak selamat pada kesudahan akibatnya”
Kata-kata ini sepatutnya kita jadikan sebagai iktibar dalam setiap permulaan hari-hari baru dalam hidup kita. Kerana apa kita berbuat sesuatu,kemana arah tuju kita,apa hasil akhir yang kita impikan, semuanya harus disandarkan kepada tujuan kita diciptakan oleh Allah swt. Kita diciptakan untuk menjadi ‘abid dalam setiap gerak kerja kita, maka jadikanlah setiap langkah, perkataan yang digunakan, masa yang diperuntukkan adalah berupa ibadah yang akan kita persembahkan kepada Allah pada hari yang ditunggu-tunggu kehadirannya oleh segenap manusia. Malu rasanya kalau pada hari tersebut kita datang menghadap Raja Paling Agung dengan tangan kosong..
Masa beredar terlalu pantas, terasa diri semakin tua tetapi tahap sumbangan terhadap pembangunan insan dan perubahan dunia masih di tahap minimum, tiada peningkatan. Sayang sekali jika umur muda yang ada dibiar berlalu sia-sia. Sedangkan di akhirat nanti dalam satu hadis riwayat At-Tirmizi, persoalan yang akan dibangkitkan oleh Allah adalah “bagaimana kita manfaatkan masa muda kita”..”ke mana dihabiskan umur kita”. Takut-takut soalan oral itu tidak mampu dijawab dengan petah oleh kita, sepertimana kita petah menjawab setiap kali ditanya oleh consultant-consultant di hospital.
Suka saya mengambil kata-kata Stephen R.Covey dalam bukunya yang berjudul The 7 Habits of Highly Effective People;
“To begin with the end of mind means to start with a clear understanding of your final destination. It means to know where you’re going so that you better understand where you are now and so that the steps you take are always in the right direction”
‘Begin with the end of mind’
‘Final destination’
Ada orang destinasi yang dituju adalah mengejar 1st class honours dalam setiap subjek yang dipelajarinya, maka bersungguh-sungguhla belajar siang dan malam untuk mendapat 1st class honour.
Ada pula manusia, ingin menjadi doktor terbaik pada zaman nya, maka bekerja keraslah untuk menempa nama sebagai doktor terbaik.
Ada juga yang destinasinya adalah sebuah perkahwinan idaman, dengan pasangan impian, maka bersungguh-sungguhlah berbuat apa sahaja untuk menjadikan impian itu satu kenyataan.
Pelbagai jenis destinasi pilihan. Tidak dilupakan golongan manusia yang meletakkan “kehidupan sebenar” di akhirat sebagai destinasi akhir. Mereka berpegang kepada ayat di dalam Al-Quran yang membawa maksud :
“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kami berfikir?” (Al-An’am :32)
Maka golongan manusia ini bekerja sehabis baik menyiapkan bekalan pengembaraan di dunia ini, malu jika tangan yang dihadapkan di hadapan Pencipta Agung mereka kelak kosong. Mereka tidak pula mengabaikan tuntutan dunia, bekerja keras untuk mendapat yang terbaik dalam setiap bidang yang diceburi. Kerana mereka tidak berpegang kepada Al-Quran separuh-separuh, mereka juga beriman dengan ayat ini yang bermaksud :
“Dan carilah negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah kepada orang lain sepertimana Allah telah berbuat baik kepadamu…(Al-Qasas :77)
Itu golongan yang melihat bahawa final destination nya adalah kehidupan di syurga. Jadi bagaimana dengan anda semua? Bagaimana juga dengan diri saya? Sudah berfikir tentang final destination kita? Jawapannya satu antara dua, syurga atau neraka..Selamat membuat pilihan.
Salam Maal Hijrah dari Majlis Syura Muslimun Cork
2 Muharram 1429
Qurratun ‘Ain @ Jannah