
Bismillahirrahmanirahim.
Pernah dengar tajuk di atas? Saya yakin sebahagian besar dari kita apabila disebutkan tentang “Bukan Cinta Biasa” tentu terngiang-ngiang nyanyian Siti Nurhaliza. Tapi bicara saya kali ini tidaklah untuk memperkatakan “Bukan Cinta Biasa” gaya Siti Nurhaliza. Kali ini tentang “Cinta Luar Biasa”.
Hari ini juga hari paling bermakna buat diri saya, bukan kerana hari raya atau hari anugerah cemerlang, tetapi hari ini adalah ulangtahun kelahiran saya yang ke-24 (Kalendar Hijrah). Jika pada umur ini antara tokoh Islam terkemuka seperti Sultan Muhd Al Fateh telah berjaya menakluk Kota Constantinople yang sekian lama diperintah oleh Kerajaan Byzantine, saya tiada apa-apa kisah sejarah yang menarik untuk diperkatakan.Tetapi saya berazam dan akan membuat perancangan teliti untuk melahirkan generasi sehebat Muhd Al-Fateh, jika bukan saya, saya akan pastikan generasi saya insyaAllah.
Hari ini saya mendapat antara hadiah istimewa sempena hari lahir saya. Nak tahu hadiahnya? Cubalah teka. Hadiahnya…(unsur suspen) hadiahnya adalah sebuah cinta, sebuah cinta luar biasa. Ikhlas, tiada kompromi, hadiah dari Allah buat saya yang kerdil ini dan juga buat si dia.
Benarlah, cinta sememangnya buta, bukan buta hati tetapi yang “dibutakan” adalah mata. (sesiapa yang bercinta kerana buta hati, itulah cinta paling menyeksakan) Baru kali kedua bersua, mesranya seperti lama sudah berjumpa. Perkenalan pertama hanya di tengah jalan menuju ke Jannah (rumah saya) dan CUH (Cork University Hospital). Kali pertama bersua, hanya bertukar-tukar senyuman dan salam, sekadar mengetahui nama dan tinggal di mana. Hari ini kali kedua bertentang mata, salam pertama dihulurkan dan si dia menyambut dengan salam yang lebih baik dari saya ditambah dengan wajah manis bercahaya. Benar kata Rasulullah saw, ucapan salam itu menyebarkan kasih sayang. Itukan ucapan ahli syurga.
Baru berkenalan beberapa minit, saya dijemputnya ke rumah. Bercerita dengan saya bagaikan ahli keluarganya. Bercerita tentang pasangan hidupnya yang kini seorang Consultant Trainee di CUH, tentang hidupnya yang sunyi di sini dan sebagainya. Janggal pada mulanya, tapi kemudian selesa dan terus selesa. Entah kenapa, perasaan ini luar biasa, sungguh luar biasa. Baru 2 jam meluangkan masa dengannya, saya sudah mengenali seluruh ahli keluarganya, siapa mereka, tinggal di mana, apa kerjanya. Jangan terkejut jika saya mengatakan bahawa saya juga sudah mengetahui hobinya.
Pelbagai jenis masakan dihidangkan, dari telur goreng, sehinggalah nasi pilau. Tidak dibenarkan saya pulang selagi mana saya belum memakan hidangan tengah harinya
Daripada topik resipi masakan Pakistan (Nota :si dia berasal dari Pakistan), kepada topik “arranged marriage vs love marriage” di Pakistan, tips kewanitaan, masalah sosial di Malaysia dan Pakistan, kisah Benazir Bhuto dan pembunuhannya, konflik-konflik politik yang menarik di Malaysia dan Pakistan, cintanya kepada Rasululah saw hinggalah kepada topik Al-Maududi, Dr. Zakir Naik dan sampai kepada perkara yang sangat saya kagumi dan menyentuh jauh ke dasar hati saya yang paling dalam, si dia bercakap tentang dakwah. Ya, si dia bercakap tentang dakwah Islamiyah. Rupa-rupanya saya tidak keseorangan dalam memahami perkara ini. Pada saat itu, terasa ingin terbang ke rumah-rumah mereka yang saya sayangi untuk memberitahu bahawa kita ada teman, kita ada sokongan, dakwah ini bersifat universal, ia adalah satu fitrah!
“Wahai manusia! Sungguh Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suke agar kamu saling mengenal (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sungguh yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti”
(Maksud ayat surah Al-Hujurat:13)
Tersenyum sepanjang perjalanan pulang, bagaikan orang mabuk cinta. Si dia yang saya kenali adalah seorang isteri dan seorang doktor. Si dia yang saya temui dari jam 11 pagi hingga 330 petang 5 Safar 1429 H adalah seorang muslimah berjiwa besar. Pelik kan, perasaan cinta ini pelik. Bagai mee segera, “cepat dimasak sedap dimakan”. Tetapi tiada unsur MSG dalam cinta ini
Cinta yang sihat, diasaskan dengan asas yang kukuh dan kuat, dari sumber cinta Ilahi. Bertuah sungguh seorang Muslim, kerana darjatnya yang mulia, Allah tinggikan mereka dengan perasaan kasih yang penuh berkat. Jauh melepasi sempadan, jauh dari sifat kebangsaan, jauh dari sifat perkumpulan, jauh dari segala “pagar-pagar” bertaraf rendah, yang pastinya tidak sesuai dengan nilai manusia yang begitu tinggi.
“Oleh kerana manusia mempunyai darjah kemuliaan dan ketinggian yang seluhur ini, maka Allah telah menjadikan tali hubungan yang diambil dari tiupan Ilahi yang mulia, iaitu tali hubungan aqidah kerana Allah. Oleh itu aqidah seorang Mukmin merupakan tanah airnya, kaumnya dan keluarganya dan di atas aqidah inilah umat manusia harus bersatu padu bukannya seperti haiwan yang berpadu kerana rumput, kerana padang ragut, kerana kumpulan dan kerana pagar” ( by Syed Qutb)
Pulang ke Jannah kelak, saya bakal bersua dengan buah-buah hati saya. Cinta saya kepada mereka juga cinta luar biasa, cinta berpaksikan aqidah, atas dasar perjuangan yang sama, walau dahulu kami di”jauhkan” dengan umur dan sebagainya, tetapi kini kami bagaikan anggota-anggota tubuh dari suatu batang tubuh badan. Sakit mereka, demamlah saya. Sedih mereka, pilulah saya. Terhibur mereka, senanglah hati saya. Cinta kerana akhlak dan agama mereka, bukan cinta material semata-mata.
“Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu” (Imam Nawawi)
Saya terus melangkah pulang ke rumah, saya merasai suatu kedamaian yang cukup menyenangkan, seolah-olah daun-daun, rumput, burung yang terbang, angin yang menyapa, cahaya matahari yang menyinar terang hari ini bagai merasai bahang cinta yang saya nikmati detik ini. Saya menjumpai satu titik kerehatan, keselesaan dan kemesraan hakiki yang seimbang, semesra alam di sekeliling saya. Terasa terubat hati saya yang dilanda kesayuan dan kegundahan lewat kebelakangan ini. Girang, kerana alam buana juga ingin turut menyertai cinta luar biasa ini.
Saya termenung dan terfikir, ini agaknya antara rasa cinta sebenar kerana Allah, tidak perlu diindahkan dengan perkara-perkara “plastik”. Benarlah, cinta atas dasar Ilahi ini rahsia kekuatan umat Islam, sayangnya kita masih terkebelakang dalam cinta luar biasa ini. Kita masih digarisi oleh sempadan-sempadan yang sebenarnya tidak wujud pun, tetapi “diada-adakan” oleh golongan orientalis yang mendedami kesatuan umat Islam. Kita dipisahkan oleh batas-batas perkumpulan, yang kadangkala asyik memperkatakan keburukan dan kelemahan perkumpulan lain dari menyatakan kebaikan dan persaudaraan. Kita dijauhkan dengan rasa cinta yang rendah nilainya, yang asasnya terlalu rapuh..
Lupakan semua itu. Mari mulakan alam percintaan yang baru. Yang apabila merasai kemanisannya, tidak ingin lagi kembali kepada cinta picisan.
Saya menjemput anda semua. Sudikah berkongsi cinta luar biasa ini dengan saya dan mereka?
“Dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana”
(Maksud ayat dari surah Al-Anfal :63)
Dan Allah swt pastinya lebih mengetahui.
Qurratu”Ain @ Jannah, 5 Safar 1429H, 12 Feb 2008M
itulh y tlh drasai apb diketemukn dgn kalian… =) …alhamdulillah…
ini mmg cinta luar biasa =)