![]()
Kalau anda pemalas. Anda hanya suka duduk-duduk. Hanya menghabiskan boreh di rumah. Tak mahu cari kerja. Mencipta kerja apatah lagi. Dan anda mengimpikan kekayaan datang. Dan selalu menyebut: Seronok kan jadi orang kaya. Adakah anda akan kaya? Begitu juga dengan hidayah. Hidayah atau petunjuk ini perlu dicari. Ia tak datang bergolek. Kalau mahu cari kebenaran, kita kena mencarinya. Baru kita jumpa. Macam kisah nabi Ibrahim as. Nabi Ibrahim sebelum Allah menjadikannya Rasul, baginda mencari siapakah sebenarnya Tuhan alam ini. Walaupun dia masih belum tahu Allah, tapi dia tahu tindakan bapanya dan masyarakatnya ketika itu menyembah batu-batu berhala adalah salah. Mana mungkin batu yang tidak boleh bergerak dan bercakap dijadikan Tuhan. Lalu baginda bertanya: Patut ke ayah ni jadikan berhala-berhala sebagai tuhan? Hati Nabi Ibrahim tidak seronok melihat berhala disembah. Lalu dia berfikir pada waktu malam: Bintang ni cahayanya terang. Barangkali bintang itu adalah Tuhan. Tapi, pada keesokan baginya bintang sudah hilang. Baginda kecewa. Nabi Ibrahim pun bercakap lagi: Aku tak suka pada benda yang terbenam hilang. Esok malamnya, Nabi Ibrahim melihat bulan purnama yang terang bercahaya. Baginda berfikir lagi: Ini adalah Tuhanku. Tapi, esok paginya bulan sudah tiada. Nabi Ibrahim berkata lagi: Ini bukan Tuhanku sebab dia hilang di waktu siang. Kemudian muncul pula matahari yang bersinar terang. Nabi Ibrahim menyebut: Oh.. inilah Tuhanku. Matahari lebih besar dari bulan dan bintang. Tetapi matahari juga terbenam ditelan kegelapan malam. Nabi Ibrahim sangat kecewa. Lalu baginda bersungguh-sungguh berdoa agar dipertemukan dengan Tuhan. Baginda tidak mahu jadi orang yang tidak ada hidayah. Orang yang sesat. Dan pada suatu hari, baginda telah diturunkan wahyu yang memperkenalkan Allah sebagai tuhan. Kemudian, Nabi Ibrahim as memberitahu masyarakatnya: Sembahlah Allah dan tinggalkan berhala. Tetapi seruan pertama Nabi Ibrahim as ini dibantah oleh masyarakatnya. Tetapi barangkali tidaklah dalam bentuk memorandum anti undang-undang syariah, blog, laman web mahupun buku-buku dan penerbitan yang selalu mencemuh Islam. Jadi, inilah cara Nabi Ibrahim: 1. Baginda mencari hidayah Kita hari ini ramai guru-guru agama, dan janganlah pula menunggu guru-guru agama itu datang mencari kita. Itu sikap yang salah. sebaliknya kitalah yang kena datang mencari guru yang mursyid. 2. Akal yang bersih pasti bertemu kebenaran Bintang, bulan dan matahari juga bukan tuhan. Sebab Tuhan yang maha kuasa pasti akan wujud selama-lamanya untuk mentadbir alam. Bukan hilang di waktu malam dan siang. Dan wahyu yang diterimanya meyakinkan Allah itu Tuhan. Kita hari ini juga ada wahyu. Wahyu itulah al-Quran. Kita tidak perlu tunggu wahyu seperti Nabi Ibrahim. Tetapi selaklah al-Quran, pasti kita menemui sesuatu. Bacalah Quran dengan niat untuk mencari kebenaran, bukannya untuk mencipta aliran baru seperti anti-hadis mahupun liberal. Tapi malangnya, kita ini tidak mahu membaca Quran. Tidak bersahabat dengan Quran. Membuka tafsir Quran pun tidak mahu. Apatah lagi untuk menghafalnya. Lebih hebat lagi, baca Quran pun tidak tahu dan tidak lancar, tetapi berani bercakap macam-macam mengenai Islam. Islam itu kolotlah. Ganaslah. Tidak majulah. Zalimlah. Dan 1001 cercaan lagi. 3. Memulakan dakwah Hari ini, bukan sahaja untuk menyeru Islam pada mereka yang bukan Islam, berdakwah kepada sesama Islam pun kita gentar. Takutlah. Nanti kena kutuklah. Nanti kena cop orang parti itulah. Nanti kena blacklist lah. Adakah zaman kita ini seteruk zaman Nabi Ibrahim yang pada waktu itu hanya baginda sahaja keseorangan memulakan dakwah? Arnold Schwarzenegger kata, kejayaan dia hari ini disebabkan dia ada impian. Impian dia disusuli dengan tindakan. Dan yang paling penting, dia memberitahu semua orang yang dia mahu menjadi Mr Universe dan bintang filem Hollywood. Adakah anda tahu apa yang dia kena? Dia diketawakan oleh semua orang. Tidak ada seorang pun yang yakin seorang yang sekurus Arnold (ketika itu) dan sepelatnya mampu menjadi johan Mr Universe dan bintang Hollywood. Hari ni, ada orang meramalkan dia adalah bakal Presiden Amerika dalam beberapa penggal lagi, dan dialah individu yang mencatatkan 2 Guinness World Records dalam 2 kategori yang berbeza. Jadi, kalau kita mahukan Islam memerintah, kita perlu ada perancangan rapi. Dan mulakan dakwah. Jangan tunggu-tunggu lagi. Walaupun akan ada orang tak suka kita, kutuk, label, ugut, blacklist, pulaukan, fitnah dan 1001 lagi ancaman. Kerana inilah juga dilalui oleh Nabi Ibrahim. Wallahua’lam. -Dipetik dari paksi.net- |
Dream, Action-Plan & Tell others
March 3, 2008 by safiyyah
