
Jika kamu berada di pagi hari, janganlah menunggu tibanya petang hari. Hari inilah yang akan anda jalani, bukan hari kelmarin yang telah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukannya, bahkan bukan juga esok hari yang belum tentu hujung pangkalnya. Inilah saat yang mataharinya menyinari anda, dan siangnya menyapa anda. INILAH HARI ANDA.
Umur anda mungkin hanya tinggal hari ini sahaja. Maka anggaplah masa hidup anda pada hari ini seolah-olah seperti anda lahir pada hari ini dan anda mati juga hari ini. Dengan itu, hidup anda tidak akan diserabutkan oleh gumpalan kedukaan masa lampau dengan bayangan masa depan yang penuh ketidakpastian dan acapkali menakutkan.

Pada hari ini, sebaik-baiknya anda mencurahkan seluruh perhatian, fokus dan tekad untuk mempersembahkan solat yang paling khusyuk’, bacaan al-Qur’an yang mengasyikkan, zikir yang penuh kesyahduan dan taubat yang disulam tangisan penyesalan.
Jadikanlah hari ini setiap detiknya laksana ratusan bulan dan setiap minitnya laksana ribuan tahun. Perbanyakkanlah kebaikan dan persembahkanlah seindah-indahnya untuk hari ini. Beristighfarlah dan ingatlah selalu kepadaNya. Bersiap-siaplah untuk perjalanan menuju ke sebuah alam yang hakiki, dan terimalah segala-galanya dengan penuh keredaan dan keikhlasan.
Maka berpegang teguhlah dengan apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang yang bersyukur. (Al-A’raf: 144)
Hiduplah hari ini tanpa kesedihan, kegalauan, kemarahan, kedengkian dan kebencian.

Janganlah sesekali terlupa bahawa HARIMU ADALAH HARI INI. Apakah nasi hangat lagi harum baunya yang anda makan pada hari ini, maka nasi basi yang telah anda makan kelmarin atau nasi hangat esok hari (yang belum tentu ada) itu merunsingkan anda?
Jika anda dapat minum air jernih dan segar hari ini, maka mengapa anda harus bersedih atas air masin yang anda minum kelmarin, atau mengapa perlu mengkhawatirkan air hambar esok hari yang belum tentu lagi kehadirannya?
Yakinlah pada diri anda sendiri dengan semangat dan tekad yang padu. Prinsip inilah yang akan menyibukkan diri anda pada setiap detik untuk selalu mensucikan amalan, memperbaiki keadaan, dan memperkembangkan segala potensi di dalam diri.

Maka sisa-sisa hidupku hari ini, akan aku usaha sehabis upaya dan tenagaku untuk taat kepada Allah, mengerjakan solat sesempurna yang mungkin, membekalkan diriku dengan solat-solat sunat, dan kefahaman terhadap segala isi kandungan Al-Qur’an serta tuntutannya. Akan ku cabut segala pohon-pohon kejahatan dan ranting-ranting durinya dari lubuk hati nuraniku dan menggantikannya dengan semaian benih-benih keimanan dan akhlak yang terpuji.
Katakanlah:
“Wahai masa lalu yang telah berlalu dan berakhir, tenggelamlah bersama-sama mataharimu. Aku tidak akan meratapi kepergianmu, dan kamu tidak akan sesekali melihatku termenung sedetik pun untuk menangisimu. Kamu telah pergi meninggalkan kami semua dan tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya.”
“Wahai masa depan, engkau masih lagi dalam keghaiban. Maka, aku tidak akan sesekali bermain-main dengan khayalan hanya untuk sebuah dugaan. Aku pun tidak sesekali sibuk memburu sesuatu yang belum tentu ada, kerana esok mungkin tiada lagi buatku. Hari esok adalah sesuatu yang belum diciptakan dan masih belum dapat dipastikan.”
“HARI INI MILIK ANDA”, adalah ungkapan yang paling indah dalam “kamus kebahagiaan”. Kamus bagi mereka yang menginginkan kehidupan yang paling indah dan menyenangkan.

Untuk sesetengah orang Tomorrow Never Come http://tncmovie.blogspot.com/...
mari manfaatkan hari ini demi kebahagiaan hari akhirat yang pasti…
menyentuh sekali hingga kedalam kalbu… Ya Allah ampuni segala dosa dosa hambaMu ini ya Allah…..